RSS

Wednesday, January 25, 2012

Hidupkanlah Malam Kita!

dari www.malaysiaharmoni.com

Penciptaan malam, sebagaimana ciptaan-ciptaan Tuhan yang lain merupakan rahmat buat manusia. Melalui petunjuk al-Quran, antara hikmah penciptaan malam adalah untuk memberikan peluang kepada manusia merehatkan jasmaninya selepas bertungkus-lumus bekerja pada siang hari.

“Dan kerana rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang supaya kamu beristirahat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.”

(Al-Qasas: 73)

Bukan sekadar itu, malah waktu malam juga adalah detik paling sesuai yang disediakan Allah untuk manusia mendekatkan diri kepada-Nya serta bertafakur dan merenung sejenak perjalanan diri. Selain itu, waktu malam yang secara tabiinya dihampari permaidani ketenangan dan kedamaian juga menjadi medan terbaik untuk seseorang hamba bermunajat kepada Tuhan-Nya, mengingati hakikat kematian dan menangisi kedaifan diri, lantas bertaubat atas segala kesalahan yang telah dilakukan sepanjang hidupnya.

Berhubung hal ini, Islam amat menggalakkan umatnya ber‘qiamullail’, yakni menghidupkan malam dengan melakukan solat seperti solat tahajud, solat taubat, solat witir dan solat sunat yang lain, serta amalan lain seperti berzikir, membaca al-Quran dan berdoa. Pada kala ramai manusia enak berdengkur, orang yang beriman menyahut seruan Tuhan lantas membersihkan dirinya dan melaksanakan amal ibadah sebagai tanda pengabdian kepada-Nya. Mereka bersungguh-sungguh mahu merealisasikan anjuran al-Quran, sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Israk ayat 79 yang bermaksud:

“Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam dan kerjakanlah sembahyang tahajud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

Seruan Tuhan agar manusia bangun malam dan menghidupkannya dengan amal ibadah turut ditujukan kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sewaktu fasa awal dakwah baginda di Makkah. Hal ini merujuk kepada firman Allah dalam surah Muzzammil ayat 1 hingga 6 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah untuk bersembahyang pada malam hari kecuali sedikit daripadanya; iaitu separuh daripadanya atau kurangilah sedikit daripada separuh itu, atau tambahkan daripadanya. Maka bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya telah Kami turunkan kepadamu (Muhammad) perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat untuk khusyuk dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan.”

Berhubung ayat-ayat surah al-Muzzammil ini, dalam “Tafsir al-Quran al-Adzim”, Ibnu Kathir menjelaskan bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pada masa-masa awal dakwah Islam di Makkah telah berhadapan dengan suku Quraisy yang tidak memberikan tumpuan yang seadilnya kepada baginda. Mereka mempermainkannya, dan mengatakan bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah dukun, tukang sihir dan orang gila, bahkan mereka mengancam untuk membunuh baginda. Keadaan ini menyebabkan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tertekan dan sedih, hingga baginda akhirnya mengambil selimut dan menutup tubuhnya. Maka pada ketika inilah ayat-ayat surah al-Muzzammil ini diturunkan.

Dalam al-Quran juga terdapat ayat-ayat Allah yang menjelaskan kelebihan bagi orang-orang yang melaksanakan qiamullail. Antaranya, Allah menyatakan bahawa orang-orang yang sentiasa bertakwa dan menghidupkan malamnya dengan beramal ibadat dan memohon keampunan daripada Allah itu adalah orang-orang yang muhsinin, iaitu orang-orang yang berbuat kebajikan yang berhak mendapat balasan yang baik, yakni rahmat Allah dan syurga. Firman Allah (maksudnya):

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa daripada waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)."

(Adz-Dzaariyaat: 15-18)

Allah juga mengiktiraf orang-orang yang menghidupkan malam mereka dengan amal ibadah sebagai hamba-hamba-Nya yang beriman. Firman Allah (maksudnya):

"Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal salih); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperoleh lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.”

(As-Sajdah: 15-16)

Melalui lidah Nabi sallallahu alaihi wasallam pula, baginda turut menyebut bahawa ganjaran syurga dijanjikan kepada orang-orang yang berqiamullail. Hadis yang berkaitan perkara ini adalah seperti berikut (maksudnya):

Berkata Abdullah bin Muslim, “Pada permulaan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ke Madinah, berkejaranlah orang ramai mengunjungi baginda, dan aku adalah seorang daripada mereka yang mengunjunginya, maka manakala aku memerhatikan mukanya dan aku telah mengenalnya, tahulah aku bahawa wajahnya bukanlah wajah manusia jenis pendusta.” Kata Abdullah selanjutnya, “Apa yang mula-mula sekali aku dengar percakapannya ialah sabdanya: ‘Wahai manusia! Kamu tebarkanlah salam, berjamulah makanan, hubungilah silaturrahim, dan kerjakanlah sembahyang waktu malam pada kala manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.’”

(Riwayat Tirmizi)

Dalam hadis lain yang turut diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, daripada Bilal, sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda (maksudnya):

"Hendaklah kamu bangun malam, sebab hal itu merupakan kebiasaan orang-orang salih sebelum kamu, wahana mendekatkan diri kepada Allah, penghapus dosa, pencegah kejahatan dan pengusir penyakit dari dalam tubuh.”

Qiamullail boleh mengusir dan mencegah penyakit? Benar, sebagaimana kenyataan Dr Abdul Hamid Diyab dan Dr Ahmad Qurquz dalam kitab “Ma’a al-Thibb fi al-Qur’an”, solat malam dapat meningkatkan ketahanan sistem imun daripada berbagai-bagai penyakit yang menyerang jantung, otak dan organ-organ yang lain. Hal ini berlaku kerana mereka yang bangun malam dapat menghentikan kebiasaan tidur dan ketenangan yang terlalu lama yang dapat menyebabkan pembuluh darah tersumbat. Malah, kata Prof Dr Mohammad Soleh pula dalam bukunya “Terapi Solat Tahaud: Menyembuhkan Berbagai Penyakit”, dalam solat malam juga terdapat unsur meditasi dan kerehatan yang dapat digunakan bagi meredakan tekanan.

Selain itu, qiamullail juga dapat membina fizikal yang kuat dan membentuk jiwa dan rohani yang kukuh. Dalam hal ini, terdapat satu kisah, bilamana Syed Qutb ditanya oleh rakan sebilik beliau dalam penjara, mengapa beliau masih lagi sanggup untuk bangun solat malam walau telah seharian suntuk dipukul dan diseksa dengan dahsyat. Beliau dengan tenang menjawab, “Jika aku tidak bangun untuk qiamullail, sudah pasti aku tidak mampu untuk bertahan dengan seksaan pada siang hari.”

Sebagai mengakhiri bab ini, saya ingin berkongsikan beberapa tips Imam al-Gazali daripada kitab “Ihya’ ‘Ulumiddin” yang perlu dilazimi oleh seseorang Muslim jika ingin konsisten berqiamullail. Antara tips tersebut ialah:

1. Tidak makan terlalu banyak sebelum tidur.
2. Tidak bekerja terlalu penat pada waktu siang.
3. Tidur sebentar pada siang hari (qailulah).
4. Tidak tidur terlalu lama pada siang hari.
5. Tidak melihat perkara yang diharamkan.
6. Tidak berbohong, mengadu-domba dan bergurau-senda yang keterlaluan pada siang hari.

1 comments:

Inspector Saahab said...

jzkk atas perkongsian :)
moga Allah redha :)

Post a Comment