RSS

Sunday, November 20, 2011

Agenda masjid untuk anak muda

Diambil dari http://www.malaysiaharmoni.com

Antara cabaran besar yang sedang dihadapi oleh institusi masjid di negara ini pada masa kini ialah untuk menarik lebih ramai generasi muda agar kembali memakmurkan masjid. Tugas ini sememangnya tidak mudah, memandangkan kecenderungan dan kesibukan orang-orang muda yang lebih terpaut kepada perkara-perkara lain yang lebih "menyeronokkan". Mereka nampaknya lebih gemar menonton perlawanan bola sepak di stadium, bermain permainan komputer di kafe siber, merempit di jalan raya, bertemu janji dengan kekasih di taman, menonton rancangan realiti berbentuk hiburan di televisyen dan lain-lain lagi berbanding untuk bertandang ke masjid.

Lebih-lebih lagi generasi muda sekarang tidak lagi seperti generasi muda beberapa dekad lalu; mereka kini lebih terdedah dengan maklumat dan pengaruh luar akibat globalisasi, yang mana akhirnya menjerumuskan mereka kepada perkara-perkara yang melalaikan sehingga melupakan ajaran agama dan adat ketimuran yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Bukan sekadar tidak ke masjid, malah ibadah solat fardu pun sudah dialpakan.

Maka, apakah solusi terbaik kepada dilema ini? Ada yang berpandangan, proses tarbiah dan bimbingan Islam kepada generasi muda harus terus dipergiatkan. Jika anak-anak muda ini sudah mendapat kefahaman yang benar mengenai agama, insya-Allah mereka akhirnya akan komited untuk mempraktikkan Islam dalam kehidupan, termasuk memakmurkan masjid dengan ibadah mereka. Saya kira ini satu pandangan yang bernas juga, namun sebenarnya tidak cukup sekadar itu kalau hendak memastikan hati anak-anak muda ini benar-benar terpaut pada institusi masjid.

Pada pendapat saya, sistem sokongan daripada institusi masjid juga perlu diambil kira jika hendakkan generasi muda berdamping dengan masjid. Lebih khusus lagi, aktiviti dan persekitaran sesebuah masjid itu hendaklah sesuai dengan citarasa dan keperluan orang-orang muda. Penyediaan infrastruktur dan jenis program yang tepat, kontemporari dan selaras dengan kehendak syarak adalah penting jika kita hendak memulakan suatu gerakan mengembalikan semula generasi muda ke masjid. Ingatlah kata-kata Umar bin al-Khatab, "Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya..."

Berpandukan sedikit pengalaman yang saya timba sewaktu bergelumang dengan dunia dakwah remaja suatu masa dahulu, terdapat beberapa jenis aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh institusi masjid untuk ditujukan kepada generasi muda masa kini. Antaranya ialah:

1. Sukan

Majoriti anak muda sekarang, terutamanya lelaki memang menggemari aktiviti sukan. Sesuai dengan keadaan ini, institusi masjid boleh mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan aktiviti berkaitan sukan yang membabitkan anak-anak muda. Sukan seperti bola sepak, futsal, bola jaring, badminton, bola tampar, sepak takraw, ping pong, malah sukaneka dan sukan rakyat adalah antara jenis sukan yang boleh dipertimbangkan untuk dijalankan. Lebih cantik lagi kalau dapat diadakan pertandingan sukan antara masjid, pasti bertambah kemeriahannya dengan penglibatan anak muda. Sewaktu menjalankan aktiviti tersebut, selitkanlah juga sedikit tazkirah pada mana-mana ruangan yang sesuai. Tekankan tajuk-tajuk seperti kepentingan beriadah, menjaga aurat, bekerjasama dalam satu pasukan, hatta peranan generasi muda memakmurkan masjid.

2. Rekreasi

Selain sukan, anak-anak muda juga sukakan aktiviti berbentuk rekreasi. Ini bersesuaian dengan ciri-ciri generasi muda yang sememangnya aktif, lasak dan sukakan cabaran. Antara jenis aktiviti rekreasi yang boleh dilaksanakan ialah perkhemahan, berkayak, ekspedisi memanjat gunung, mencari harta karun (treasure hunt) dan explorace. Jangan lupa untuk menyelitkan sebarang bentuk aktiviti kerohanian sepanjang mengadakan program rekreasi tersebut.

3. Kesenian dan kebudayaan

Ramai juga anak muda yang meminati bidang seni. Justeru, bagi meraikan fitrah anak muda ini, aktiviti berbentuk kesenian dan kebudayaan boleh dianjurkan oleh pihak masjid. Contoh aktiviti adalah seperti nasyid, kompang, tulisan khat, seni mempertahankan diri, pentomen dan teater. Saya tertarik dengan satu pendekatan yang dibawa oleh sebuah kumpulan yang mempromosikan teater berjudul "Menunggu Kata Dari Tuhan" di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor sejak tiga tahun lalu. Sambutannya cukup memberangsangkan dan ternyata mampu menarik anak muda untuk menyaksikannya lantas mendekatkan mereka dengan institusi masjid.

4. Seminar, bengkel, forum dan kem

Walaupun aktiviti-aktiviti ini bunyinya sedikit formal, namun jika pengisian dan pendekatannya segar dan menepati selera orang muda, saya pasti aktiviti sebegini juga mampu menarik minat remaja untuk berkunjung ke masjid. Modul-modul alaf baru berkaitan generasi muda boleh diketengahkan seperti ‘Keindahan Bersamamu’, ‘Anda Bijak Jauhi Zina’, ‘Reproduksi Remaja’, ‘S.P.I.E.S’, ‘Remaja Raikan Ramadan’ dan ‘Hidup Zero Alasan’. Di samping itu lebih baik lagi jika dapat dilibatkan figura dan selebriti terkenal yang cenderung kepada Islam seperti Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya Mohamad, Dr Harlina Halizah Siraj, Wardina Safiyyah, Asyraf Muslim, Akil Hayy, Ahmad Fedtri Yahya, Irma Hasmie dan Heliza Helmi, juga artis-artis nasyid seperti Rabbani, Raihan, In-Team, Nowseeheart dan lain-lain lagi.

5. Lawatan

Lawatan sambil belajar adalah suatu aktiviti yang cukup bermanfaat buat generasi muda. Bawalah mereka ke tempat-tempat bersejarah, institusi pengajian tinggi, rumah-rumah kebajikan dan ekspo atau pameran yang bersesuaian. Insya-Allah, pasti mereka berasa seronok dan memperoleh manfaat melalui aktiviti sebegini.

6. Pertandingan kreatif

Di samping itu adakanlah aktiviti berbentuk pertandingan kreatif yang khusus disertai oleh golongan remaja dan belia. Contoh pertandingan ialah pertandingan filem pendek, pertandingan melukis komik, pertandingan kuiz isu Palestin, pertandingan flash, pertandingan foto bermesej, pertandingan mereka bentuk laman web masjid, Akademi Khatib dan sebagainya. Pastikan promosi pertandingan ini disebarkan seluas mungkin dengan penyediaan hadiah yang mampu menarik minat anak-anak muda untuk menyertainya.

Cukuplah sekadar itu saranan saya. Saya percaya banyak lagi jenis aktiviti lain yang boleh diadakan bagi menjayakan hasrat kita untuk membuatkan generasi muda hari ini "jatuh cinta" dengan masjid. Oh ya, ada juga rakan-rakan saya yang pernah berkunjung ke Singapura yang menceritakan begitu hidupnya aktiviti masjid di sana, khususnya aktiviti kepada remaja dan belia. Saya berharap suatu hari nanti saya akan sampai ke sana dan melihat sendiri realiti seperti yang diceritakan orang tersebut.

Sebelum itu ayuh kita realisasikan kerja besar kita ini di tempat kita sendiri. Suatu kerja besar yang memerlukan pengorbanan yang besar...

Wednesday, November 9, 2011

Menyemarakkan Fungsi Masjid

Diambil dari malaysiaharmoni.com

Saya mempunyai beberapa orang rakan yang pernah berkunjung ke Singapura bagi meninjau perjalanan institusi masjid di sana. Menurut mereka, masjid di sana benar-benar dimakmurkan dengan pelbagai fungsi dan kegunaan. Malah, melalui pendekatan ‘mesra keluarga, komuniti dan belia’, masjid di Singapura kini bukan sahaja memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan masyarakat Islam, bahkan telah berjaya mencatat pelbagai kemajuan dari sudut agama dan pembangunan sosial. Dengan jumlah tidak lebih daripada setengah juta penduduk Muslim di Singapura, kini sudah terdapat sebanyak 69 buah masjid di sana. Serentak dengan perkembangan tersebut, ditambah kemajuan masyarakat yang pesat berubah, masjid-masjid di Singapura terus proaktif mengatur strategi agar ikatan antara masjid dan ahli masyarakat yang beragama Islam (juga bukan Islam) akan terus kukuh.

Bagaimana pula dengan institusi masjid di Malaysia? Kita sebenarnya harus juga berbangga kerana lewat dewasa ini semangat umat Islam di negara ini untuk membangun dan memperkasa institusi masjid sudah semakin terserlah. Dengan pertambahan bilangan masjid-masjid baru, serta bersemaraknya aktiviti-aktiviti yang berpusat di masjid sudah boleh menggambarkan kesungguhan mereka untuk memartabatkan Islam, sesuai dengan statusnya sebagai agama rasmi negara ini.

Namun, harus juga kita akui bahawa fungsi dan peranan institusi masjid di negara kita secara umumnya masih boleh dioptimumkan lagi. Hal ini memandangkan masih banyak masjid yang memberikan fokus hanya kepada aktiviti-aktiviti yang bersifat rutin seperti solat berjemaah, kuliah fardu ain, ceramah sempena hari kebesaran Islam, tadarus al-Quran dan sebagainya. Keadaan ini mungkin disebabkan tahap kefahaman kebanyakan umat Islam yang masih dibelenggu pemikiran lama bahawa untuk mengimarahkan masjid, cukuplah dengan melaksanakan solat berjemaah dan ibadah sunat tertentu.

Inilah antara cabaran yang sedang menanti para pendakwah. Sudah tiba masanya untuk kita memberikan kefahaman yang tepat terhadap umat Islam, khususnya para penggerak institusi masjid akan fungsi sebenar masjid terhadap individu dan masyarakat. Kefahaman yang harus ditanam kepada mereka iaitu fungsi masjid bukan sahaja terjurus kepada aspek ibadah semata-mata, tetapi juga turut merangkumi aspek-aspek kehidupan yang lain seperti kegiatan sosial dan ekonomi, bahkan bidang-bidang lain yang seiring dengan tuntutan dan perkembangan zaman. Pendek kata, institusi masjid harus menjadi “pusat sehenti” umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.

Dr. Mustafa as-Syibaie dalam buku “Sirah Nabi Muhammad s.a.w. – Pengajaran & Pedoman” telah berkongsikan pandangannya berkenaan fungsi masjid, “Sejarah masjid dalam Islam membuktikan ketumbukan-ketumbukan tentera Islam dilancarkan dari masjid untuk meliputi muka bumi dengan hidayah Allah. Dari masjid juga terpancar sinaran cahaya kebenaran dan hidayah kepada orang Islam dan orang bukan Islam. Di dalamnya juga benih-benih tamadun Islam tumbuh subur dan berkembang. Bukankah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Khalid, Saad, Abu Ubaidah dan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang lain merupakan anak-anak murid sekolah Muhammad yang berpusat di Masjid an-Nabawi?”

Melalui sirah, kita dapat melihat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja menjadikan Masjid an-Nabawi sebagai pusat ibadah, malah juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran negara Islam Madinah. Masjid an-Nabawi menjadi nadi gerakan Islam, penggerak aktiviti masyarakat, malah tempat umat menuntut hak dan keadilan. Masjid an-Nabawi juga turut berperanan sebagai pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia. Dengan fungsi-fungsi tersebut, terbukti Rasulullah s.a.w. telah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai ad-Deen (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang dimainkan oleh institusi masjid.

Dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Peranan dan Kedudukan Institusi Masjid Dalam Islam”, Ismail Roziz yang merupakan Setiausaha Agung Jamiyah Singapura telah menyenaraikan peranan yang harus dilakukan oleh institusi masjid pada hari ini. Peranan-peranan tersebut adalah seperti berikut:

i. Menyusun struktur kerja masjid

Salah satu ciri kejayaan sesebuah masjid untuk menjadi pusat pentadbiran dan perkembangan masyarakat Islam adalah terletak pada struktur kerja masjid itu sendiri. Jawatankuasa kerja yang dinamik dan berkaliber akan dapat merancang dan mentadbir masjid dengan baik.

ii. Imam yang ideal

Imam masjid mempunyai kedudukan, peranan dan fungsi yang sangat penting, bukan sahaja dalam upaya memakmurkan masjid, tetapi juga dalam membina, mengembang dan memajukan masyarakat Islam yang merupakan jemaah masjid. Oleh itu imam masjid perlulah mempunyai pengetahuan dan wawasan yang luas serta mampu menyelesaikan masalah kemasyarakatan dengan sebaik mungkin.

iii. Menyatukan umat Islam

Rasulullah s.a.w. amat mementingkan semangat bersatu-padu dalam kalangan para sahabatnya. Apabila terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan mereka, Rasulullah s.a.w. menanganinya secara kolektif dan telus. Dan sekiranya para sahabat mempunyai ide dan pendapat baru yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, maka Rasulullah s.a.w. amat mengalu-alukannya. Tujuan tindakan seperti ini adalah untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan para sahabat dan pengikut mereka.

iv. Menghidupkan semangat mesyuarat

Masjid adalah tempat untuk bermesyuarat, bukan sahaja di antara para pentadbir dengan jawatankuasa dan para pentadbir dengan jemaah, namun juga di antara sesama jemaah. Imam masjid dan pentadbir hendaklah bermesyuarat untuk mendapatkan penyelesaian dalam menghadapi sesuatu masalah atau pertikaian yang timbul. Apa jua perancangan atau projek baru yang bertujuan untuk meninggikan syiar Islam dan menghidupkan semangat keislaman perlulah dibincangkan bersama.

v. Memperkukuh akidah umat

Dalam kehidupan masa kini yang penuh dengan cabaran dan tentangan, umat Islam amat perlu memperkuat akidah supaya tidak mudah terpengaruh dan terjerumus ke dalam unsur-unsur negatif. Benteng akidah ini menjadi lebih penting lagi kerana dewasa ini tersebar ajaran-ajaran serta pemahaman akidah yang menyesatkan. Dalam hal ini, masjid memainkan peranan yang penting dalam menguatkan akidah jemaahnya.

vi. Institusi keislaman, pelajaran, kemasyarakatan dan kebajikan

Masjid hendaklah menjadi pusat rujukan dalam masalah-masalah kehidupan masyarakat Islam sehingga mampu menyediakan jawapan yang munasabah dan Islamik bagi setiap pertanyaan, juga menjadi pusat kaunseling bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada hari ini.

Masjid juga adalah institusi ilmu untuk kecemerlangan masyarakat Islam. Budaya ilmu ini perlu diluaskan dengan mengadakan kelas-kelas keagamaan dan juga kelas-kelas ilmiah yang lain seperti pelajaran komputer, sains, matematik dan lain-lain pelajaran dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa. Selain itu usaha seperti ceramah, forum dan dialog umum merupakan antara alternatif yang akan mengharmoni dan menyatupadukan masyarakat Islam.

Di samping itu masjid juga hendaklah menjadi pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan sokongan moral dan material bagi meringankan beban kewangan atau masalah gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa kini.

vii. Mempererat kerjasama antara umat

Masjid sebagai tempat ibadat melahirkan gambaran perdamaian dan keagungan Islam sebagai agama yang toleran terhadap sesama penganut agama. Adalah baik jika masjid dapat membuka pintu kepada mereka yang bukan Islam untuk melawat ke rumah Allah ini agar mereka dapat belajar dan mengetahui bagaimana umat Islam melakukan sembahyang dan erti seruan azan yang dilaungkan sebelum sembahyang serta kegiatan keagamaan atau aspek yang lain di dalam masjid.

Maka dengan premis tersebut, ayuh kita membangun dan menyemarakkan semula fungsi masjid di negara kita agar cita-cita kita untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang dan tamadun Islam yang gemilang akan dapat dicapai. Selain itu kita jadikan usaha ini sebagai salah satu cara kita untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dan meraih manfaatnya di akhirat kelak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

“Barangsiapa membangun untuk Allah sebuah masjid meskipun hanya sebesar sarang burung, maka Allah akan membangunkan untuknya rumah di syurga.”

(Riwayat Bukhari)

Wednesday, June 15, 2011

Dakwah berdiri atas kefahaman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh…

Apa khabar ikhwah dan akhawat yang ana kasihi sekalian, ana harap kita sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah subhanahu wataala dalam setiap perjalanan hidup kita..
Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t

“Tidak aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mereka semua mengabdikan diri kepada Aku”

Tujuan hidup kita ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t, dan juga menjadi khalifatullah fil ardh.. Sahabat2 ana yang ana kasihi, kita sebagai manusia tidak lari dari disoal di hadapan Allah terhadap amal yang kita lakukan.. dalam firman Allah dalam surah al-kahfi

“Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

Ketahuilah bahawa kita ini akan dibawa menghadap Allah swt dengan apa yang kita lakukan di dunia ini... Ya Allah kau letakkanlah aku bersama di kalangan orang yang mendapat syurgamu...

Kita sebagai manusia perlu menginsafi diri kita ini agar kita benar2 memahami tujuan kita berada di muka bumi Allah swt.. Kalau bukan kerana nabi muhammmad dan para pengemban dakwah tidak membawa islam kepada kita, di manakah kedudukan kita pada hari ini.. Adakah kita dapat merasai indahnya mengayuni ayat Allah swt??, dapatkah kita merasai manisnya berdoa di hadapan Allah??.. dapatkah kita bangun malam melakukan malam semata2 kerana ingin bermunajah kepada Allah??

Ya Allah, terima kasih atas nikmat iman dan islam yang kau curahkan kepada kami... Dari sini ku yakini tugas kita sebagai pengabdi diri kepada Allah adalah kita membimbing manusia keseluruhannya kepada kebenaran seperti mana yang dibawa oleh baginda nabi muhammad saw.... Kemuncak kepada dakwah adalah kita membawa seluruh manusia kepada pengabdian kepada Allah swt, iaitu islam yang menjadi rujukan dunia (ustaziatul alam)

Persoalannya?

Adakah dakwah yang kita bawa ini adalah suatu matlamat jangka pendek??

-Tidak sesekali tidak, dakwah ini adalah suatu perjalanan panjang yang mana matlamatnya jelas iaitu ketundukan seluruh alam kepada islam... benar2 menyerah diri kepada Allah swt dalam seluruh perjalanan hidup mereka...

Kalau perjalanannya yang panjang, bagaimana kita ingin melakukannya??

-Dakwah tidak boleh diukur dengan umur manusia kerana urusan ini adalah urusan yang sangat besar yang menjadi kemuncak pengabdian kepada Allah. Oleh itu, kita sebagai penyambung generasi dakwah para2 nabi terdahulu mestilah benar2 memahami ke mana hala tuju dakwah kita.. kita kena jelas, di mana maratib amal yang sedang kita lalui.. sekiranya perkara ini tidak difahami, suatu generasi itu akan rugi atas ketidak fahaman terhadap perkara ini, justeru menyebabkan generasi pengemban dakwah alaf baru yang tidak tahu memacu halatuju islam atas sebab tidak memahami tabiat dakwah ini.. mereka melihat suatu kejayaan dakwah dengan had umur mereka... maka di situ akan kedengaran ayat2 seperti “ kalau nak bina individu muslim nie, mesti lambat!, kita nak cepat!! teruskan dengan khilafah!!

Kita bukan menafikan bahkan menyokong usaha ini, namun mereka yang memahami tabiat agama ini setelah mengkaji perjalanan dakwah islam akan akur dengan pentingnya marhalah dakwah ini, dan dengan itu dakwah ini berjalan dengan penuh kejelasan tanpa ada rasa syak lagi akan kejayaannya..

Firman Allah,

Katakanlah: “Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru kepada ALLAH dengan keterangan yang nyata. Maha Suci ALLAH dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.”) (Yusuf: 108)

Habis tu, macam mana dengan banyaknya harakah islam yang wujud pada masa sekarang?? Kenapa tidak satu sahaja??

Ikhwah dan akhwat yang ana kasihi, cukuplah kita bukanlah generasi yang membawa orang kepada jemaah islam kerana jemaah itu sekadar wasilah untuk menyampaikan islam kepada masyarakat, dan dunia keseluruhannya.. dan begitu juga pemerintahan islam adalah satu wasilah juga untuk membawa manusia seluruhnya kepada Allah swt.... Janganlah kita berselisih atas wasilah ini, kerana tujuan itu yang lebih utama.. Banyakkan berfikir untuk umat (ummah centric) ! Jangnlah terlalu berfikir “jemaah centric” yang menyebabkan kita tidak jelas pada tujuan kita yang sebenar...

Kenapa tidak satu sahaja??

Sedangkan tabiat manusia itu sendiri ada sudut pandang yang tersendiri, begitu juga harakah islam juga ada sudut pandang yang tersendiri.. Namun itu tidak menjadi masalah sekiranya kita jelas pada manhaj dakwah yang kita pegang dan kita amalkan.. Justeru banyakkanlah mengamalkan “Kita bertolong-tolongan pada perkara yang kita sepakati dan kita berlapang dada pada perkara yang kita berbeza” InsyaAllah...

Banyakkanlah mengkaji perjalanan dakwah nabi, para sahabat, tabien, dan generasi seterusnya... belajarlah dari sejarah umat islam sendiri... kita akan tahu bagaimana kita hendak bergerak... dengan kefahaman yang benar terhadap dakwah ini...

Penulis harap apa yang penulis nukilkan ini, tidak menjadi suatu pemisah diantara harakah-harakah dakwah yang bergerak ini...bahkan Penulis ingin mengajak agar semuanya bersatu di atas manhaj yang dibawa dan itu merupakan penghubung yang paling selamat... iaitu kembali memahami manhaj yang dibawa oleh IM dan memahaminya dan berkerja di atas manhaj kebenaran ini... Wallahu a'lam..

Thursday, May 12, 2011

Penanaman akidah yang simple!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh….

Syukur kepada Allah swt atas nikmatnya pada kita hingga hari ini.. Kalau kita hitung tidak akan terkira banyaknya.. Maka ayuhlahlah kita mensyukuri nikmatnya dgn beramal soleh sebagaimana yang terdapat pada firman Allah “Dan sekiranya kamu bersyukur, aku akan akan tambahkan lagi, dan sekiranya kamu kufur pada nikmatku, Ketahuilah bahawa azabku sangat pedih”

Penulis juga ingin meminta maaf kepada sebagian yang menunggu posting dari penulis.. Penulis telah meninggalkan dunia blog ‘sebentar’ yang memakan waktu berbulan2.. namun insyaAllah penulis akan kembali menemui pembaca dalam blog ini dengan lebih kerap lagi… TERIMA KASIH ATAS TEGURAN.

Penulis ingin membawa pembaca sekalian kepada perkara yang meningkatkan keimanan kepada Allah pada entri kali ini.. penulis baru sahaja bertemu dengan Ustaz Shazali herman (ikhwah dari penang) yang membentangkan tentang I’jazul quran (mukjizat quran) di pejabat baru2 ini..

Beliau menceritakan tentang penanaman iman yang dibawa oleh quran sangat hebat.. Kerana quran adalah diantara perkara yang kita perlu imani.. Adapun yang lain semuanya tidak dapat dilihat, dibelek (rukun iman yang lain), Tetapi Ada satu mukjizat, firman, dustur yang boleh kita lihat, pegang, dan belek iaitu quran.. itulah dia kunci kepaa kuatnya iman kita kepada Allah, malaikat, , rasul, qiyamat dan qada’ dan qadar… Namun, sekiranya tidak faham mesej quran, maka akan terkuncilah keimanan kita pada rukun2 yang lain ini… Allah dalam menyampaikan firmannya memang tidak akan lari dari menyampaikan tiga perkara dalam islam iaitu:

1)kekuatan akidah
2)Pengamalan syariat islam
3)Akhlak islami

Fokus kali ini adalah pada penanaman akidah..

sahabat2, ikhwah akhawat yang dikasihi Allah, berapa ramai daripada kita yang dapat merasai hebatnya firman Allah ini dalam membentuk akidah para sahabat dan mereka yang memahami quran ini? Para sahabat begitu hebat keimanan mereka dengan apa yang dibawa oleh nabi.. Namun kita, masih lagi menjadi diantara kuat dan lemah dalam menjiwai sumber islam ini… Kenapa masyarakat kita hari ini, khususnya masyarakat islam sudah jauh penghyatan dari islam, kenapa dan kenapa?? Suatu jawapan yang perlu kita ketengahkan adalah masyarakat sudah berada jauh dari ketakutan dan ketakwaan kepada Allah swt kesan dari kurangnya kefahaman akidah yang mantap ini…
Firman Allah swt dalam quran (surah albaqarah) “Mereka yang kami berikan Alquran dan membacanya dengan sebenar2 bacaan mereka itulah yang beriman kepada Allah”..Apakah maksud membaca dengan sebenar2 bacaan?..
Maksudnya yang membaca dengan betul, memahami dengan betul, dan beramal dengan betul. Ayuhlah sahabat2 kita renung balik kekuasaan Allah di alam ini.. Allahlah yang mentadbir alam ini, dia sangat tahu semua yang ada di langit dan bumi… Tidak terasakah kita dengan kurniaan Allah yang banyak ini kepada kita??

Setiap kejadian di muka bumi Allah sepatutnya menambahkan keimanan kita kepada Allah.. Ini adalah penanaman akidah yang paling simple… X perlu memakan masa yang lama mendalami kitab2 akidah, x perlu mahir bahasa arab, namun ini jelas menunjukkan hebatnya penanaman akidah oleh quran.. InsyaAllah penulis akan menyingkap pada entri2 yang seterusnya tentang contoh2 penanaman akidah oleh quran.. InsyaAllah dengan bukti yang lengkap.. (dapat dari tazkirah ustaz syazali)

Ayuh sahabat perhatilah lagu ini.. dan cuba lihat kekuasaan Allah dan inilah akidah yang ditanam oleh quran… MasyaAllah..(pause kan lagu di sebelah)