RSS

Wednesday, November 27, 2013

Pengajaran dari bumi Khaibar : Tarbiyah Syumuliyyah tulang belakang kekuatan islam


Dahulu, di sinilah tempat pengkalan terbesar musuh islam. Ia adalah satu kota yang strategik dengan kubu yang kukuh dan berlapis-lapis. Segala rancangan khianat Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa' untuk berpaling tadah kepada kerajaan islam pimpinan Rasulullah semuanya dirancang di sini. Begitu juga pakatan jahat mereka bersama Quraish, munafiqin dan arab badwi dalam kelompok bersekutu ahzab. Ya. Mereka sangat memusuhi negara islam di Madinah.


Pada hujung bulan Muharram 7 hijrah, Rasulullah S.A.W menyiapkan sebilangan tentera umat islam untuk menyerang pengkalan besar ini. Tentera muslimin telah ditapis sebaiknya. Perjalanan yang memakan masa berhari-hari tidak melemahkan mereka. Mereka semakin mara ke hadapan. Satu demi satu kubu-kubu musuh di serang dan berjaya ditawan. Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera muslimin. 


Begitulah. Apabila meneliti sejarah, kita akan dapati islam mempunyai kekuatan yang tersendiri di mata musuh-musuhnya. Belajarlah daripada sejarah, anda akan tahu betapa kuatnya kita. Bilangan yang sedikit tidak sesekali menyekat kemaraan islam. Kualiti pembinaan rijal yang solid berdasarkan tarbiyah syumuliyah menjadi tulang belakang kekuatan mereka. Ya. Inilah perkara dasar yang perlu kita tekankan kembali.

Bilangan umat islam sudah mencecah billion orang sekarang, tetapi di manakah kita !

Monday, November 4, 2013

Islam itu adalah akhlak :)

Berkata Imam Ibnu al-Qayyim Rahimahullah:

(الدّين كله هو الخلق ، فمن زاد عليك في الخلق ، فقد زاد عليك في الدين)

"Agama islam ini semuanya adalah akhlak. Barangsiapa yang dapat menambahkan akhlak kepada kamu, sesungguhnya dia telah menambahkan islam kepada kamu"

Benar. Mereka sangat memahami pentingnya 'berakhlak' dalam kehidupan kita sebagai 'muslim'. Bahkan itulah hakikat islam !

Sekiranya kita perhatikan. Sememangnya, agama islam tidak terlepas dari dua perkara ini:

1) Berakhlak dengan Allah. Perkara ini tidak akan dicapai melainkan dengan melaksanakan perintahnya, dan meninggalkan segala larangannya.

2) Berakhlak dengan makhluk Allah. Ia termasuklah manusia, jin, haiwan, dan benda-benda yang lain. Islam telah mengajar bagaimana kita untuk 'berakhlak' dengan semua ini.

Jadi. Benarlah. Semakin bertambah 'akhlak' anda, semakin bertambah 'islam' anda.

Faqihnya salafus soleh dalam memahami agama. Allah Akbar !

Monday, October 28, 2013

Tarbiyah membina kebahagian hidup !

Mendidik diri dan mentarbiyah jiwa merupakan medan perjuangan yang paling asas. Inilah kunci penting yang menjadi titik perubahan (al-taghyir) dan titik pembaikan (al-islah) sebuah masyarakat dan tamadun.

Mereka yang merenung rapi perjuangan dakwah para rasul, pasti memahami peri pentingnya aspek ini, dan peranannya dalam merangka perubahan yang sangat besar !


Bukankah Allah S.W.T telah berfiman (Ar-Ra'd : 11) ,

(إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم)

"Sesungguhnya, Allah sesekali tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri (jiwa) "

Kata Syeikh Abu Bakar Al-jazairi di dalam tafsirnya,

"Telah menjadi ketetapan Allah (Sunnatullah), seperti yang berlaku kepada kaum² yang terdahulu, bahawa segala nikmat kebaikan, keamanan, dan kegembiraan yang mereka kecapi tidak lain adalah kerana istiqamahnya mereka dalam iman dan amal yang soleh. Tetapi, semua itu telah ditarik semula akibat mereka kembali melakukan pengingkaran dan dosa, serta tenggelam dalam maksiat dan syahwat"

Lihatlah, atas sebab faktor 'kerosakan jiwa', mereka terperuk dalam kesengsaraan dan ditarik nikmat kebahagian dan kebaikan dalam hidup !

Mafhumnya di sini..

Ayuh, sama-sama meperbaiki 'kerosakan jiwa' kita dengan melakukan dakwah dan islah. Moga bala Allah tidak turun kepada kita, dan nikmat yang masih kita ada, tidak ditarik semula !

Amin ya Rabbal Alamin.

Friday, October 25, 2013

Tadabbur Surah Al-Kahfi (Ayat : 28)

Wahai sahabat²ku, terlalu banyak pesanan² berharga yang akan engkau dapati ketika mentadabbur (menghayati) ayat² dalam Surah Al-kahfi pada bacaanmu setiap hari jumaat dalam mengikuti sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mulia. Padanya terlalu banyak pengajaran dan nasihat yang patut engkau jadikan pedoman dalam hidupmu !

Renungilah firman tuhanmu yang berharga ini, dengan sepenuh penghayatan.

"(Wahai hambaku,) Jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang² yang sentiasa mengabdikan diri mereka kepada tuhan pada setiap kali waktu pagi dan petang, (yang mana mereka itu) hanya mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahu mencari kehidupan dunia (yang sementara ini); dan janganlah engkau mengikuti orang yang Kami telah lalaikan hati mereka daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula sudah melampaui kebenaran " (Surah Al-kahfi : 28)

Dari ayat ini, ketahuilah, engkau sedang dinasihati oleh tuhan-Mu agar engkau sentiasa berada disisi teman² yang soleh (Mujalasah as-Solihin), yang hidup mereka sentiasa berhubungan kuat dengan Allah, sentiasa mentaati segala perintah-Nya, dan melaksanakan tanggungjawab mereka yang ditetapkan oleh-Nya.

Barangkali engkau akan lupa perkara ini dalam sela² kehidupanmu yang penuh dengan kesibukan dan kelalaian itu, namun (ketahuilah) nasihat ini akan tetap berterusan diberikan kepadamu setiap kali kamu mentadabburi mesej besar dari ilahi ini !

Tuhanmu benar-benar mengetahui sikapmu yang terlalu mudah terpengaruh dengan kehidupan sekelililng kamu itu, maka jagalah dirimu itu. Selalulah bersama dengan orang-orang soleh !

Nescaya dengan itu engkau akan memperoleh manfaat yang besar untuk duniamu dan akhiratmu. Dari mereka, engkau akan mendapat banyak ilmu dan hikmah yang bermanfaat, yang dapat memandu hidupmu, memperbetulkan kesalahan²mu, dan memperbaiki kelemahan² dirimu yang banyak itu. Malah apabila engkau bersama mereka, engkau dapat menjauhkan diri dari perkara buruk dan maksiat !

Mereka juga dapat mendidikmu dengan akhlak² yang mulia, engkau dapat juga berlumba-lumba (istibaq al-khairat) bersama mereka dalam melakukan amal soleh, dan engkau juga bakal mendapat manfaat doa mereka kepadamu di malam hari, dan lain-lain faedah lagi yang tidak terkira banyaknya.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami teman² yang soleh dan musleh, dan ikhwah² yang mampu membina diri kami ke arah yang engkau redhai dan engkau sukai. Maafkanlah kami atas kekurangan kami sebelum ini. Amin ya Rabbal Alamin.

3.05 petang,
Jamiah Islamiyyah,
20 Dzulhijjah 1434,
Madinah Munawwarah,
Arab Saudi.