RSS

Monday, October 28, 2013

Tarbiyah membina kebahagian hidup !

Mendidik diri dan mentarbiyah jiwa merupakan medan perjuangan yang paling asas. Inilah kunci penting yang menjadi titik perubahan (al-taghyir) dan titik pembaikan (al-islah) sebuah masyarakat dan tamadun.

Mereka yang merenung rapi perjuangan dakwah para rasul, pasti memahami peri pentingnya aspek ini, dan peranannya dalam merangka perubahan yang sangat besar !


Bukankah Allah S.W.T telah berfiman (Ar-Ra'd : 11) ,

(إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم)

"Sesungguhnya, Allah sesekali tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri (jiwa) "

Kata Syeikh Abu Bakar Al-jazairi di dalam tafsirnya,

"Telah menjadi ketetapan Allah (Sunnatullah), seperti yang berlaku kepada kaum² yang terdahulu, bahawa segala nikmat kebaikan, keamanan, dan kegembiraan yang mereka kecapi tidak lain adalah kerana istiqamahnya mereka dalam iman dan amal yang soleh. Tetapi, semua itu telah ditarik semula akibat mereka kembali melakukan pengingkaran dan dosa, serta tenggelam dalam maksiat dan syahwat"

Lihatlah, atas sebab faktor 'kerosakan jiwa', mereka terperuk dalam kesengsaraan dan ditarik nikmat kebahagian dan kebaikan dalam hidup !

Mafhumnya di sini..

Ayuh, sama-sama meperbaiki 'kerosakan jiwa' kita dengan melakukan dakwah dan islah. Moga bala Allah tidak turun kepada kita, dan nikmat yang masih kita ada, tidak ditarik semula !

Amin ya Rabbal Alamin.

Friday, October 25, 2013

Tadabbur Surah Al-Kahfi (Ayat : 28)

Wahai sahabat²ku, terlalu banyak pesanan² berharga yang akan engkau dapati ketika mentadabbur (menghayati) ayat² dalam Surah Al-kahfi pada bacaanmu setiap hari jumaat dalam mengikuti sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mulia. Padanya terlalu banyak pengajaran dan nasihat yang patut engkau jadikan pedoman dalam hidupmu !

Renungilah firman tuhanmu yang berharga ini, dengan sepenuh penghayatan.

"(Wahai hambaku,) Jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang² yang sentiasa mengabdikan diri mereka kepada tuhan pada setiap kali waktu pagi dan petang, (yang mana mereka itu) hanya mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahu mencari kehidupan dunia (yang sementara ini); dan janganlah engkau mengikuti orang yang Kami telah lalaikan hati mereka daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula sudah melampaui kebenaran " (Surah Al-kahfi : 28)

Dari ayat ini, ketahuilah, engkau sedang dinasihati oleh tuhan-Mu agar engkau sentiasa berada disisi teman² yang soleh (Mujalasah as-Solihin), yang hidup mereka sentiasa berhubungan kuat dengan Allah, sentiasa mentaati segala perintah-Nya, dan melaksanakan tanggungjawab mereka yang ditetapkan oleh-Nya.

Barangkali engkau akan lupa perkara ini dalam sela² kehidupanmu yang penuh dengan kesibukan dan kelalaian itu, namun (ketahuilah) nasihat ini akan tetap berterusan diberikan kepadamu setiap kali kamu mentadabburi mesej besar dari ilahi ini !

Tuhanmu benar-benar mengetahui sikapmu yang terlalu mudah terpengaruh dengan kehidupan sekelililng kamu itu, maka jagalah dirimu itu. Selalulah bersama dengan orang-orang soleh !

Nescaya dengan itu engkau akan memperoleh manfaat yang besar untuk duniamu dan akhiratmu. Dari mereka, engkau akan mendapat banyak ilmu dan hikmah yang bermanfaat, yang dapat memandu hidupmu, memperbetulkan kesalahan²mu, dan memperbaiki kelemahan² dirimu yang banyak itu. Malah apabila engkau bersama mereka, engkau dapat menjauhkan diri dari perkara buruk dan maksiat !

Mereka juga dapat mendidikmu dengan akhlak² yang mulia, engkau dapat juga berlumba-lumba (istibaq al-khairat) bersama mereka dalam melakukan amal soleh, dan engkau juga bakal mendapat manfaat doa mereka kepadamu di malam hari, dan lain-lain faedah lagi yang tidak terkira banyaknya.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami teman² yang soleh dan musleh, dan ikhwah² yang mampu membina diri kami ke arah yang engkau redhai dan engkau sukai. Maafkanlah kami atas kekurangan kami sebelum ini. Amin ya Rabbal Alamin.

3.05 petang,
Jamiah Islamiyyah,
20 Dzulhijjah 1434,
Madinah Munawwarah,
Arab Saudi.

Thursday, October 3, 2013

IMaN YG BeNaR MeMBuaHKaN aMaL SoleH

Sudah lama tidak menulis di blog. Hampir-hampir 2 tahun sebenarnya. Dikongsikan status fb saya.

 Baru habis membaca sebuah kisah motivasi yang diceritakan oleh Dr. Khalid bin Jabir seorang pakar Jantung dan Pendakwah, dalam satu ceramahnya.

 Ia mengisahkan tentang seorang ibu yang sangat tabah menghadapi ujian yang menimpa anaknya. Ujian demi ujian dihadapi anaknya, diuji dengan penyakit-penyakit kronik yang sangat bahaya. Jantung berhenti berdenyut buat berapa ketika, ketumbuhan di kepala, luka parah dalam paru-paru, lumpuh dan sebagainya. Sedangkan –ketika itu- itulah satu-satunya anaknya yang dia miliki setelah 17 tahun berkahwin.

 Namun, setiap kali ujian berat yang menimpa anaknya, si ibu bersabar dan sentiasa mengucapkan kalimah ‘Alhamdulillah’ dengan maksud segala puji hanyalah bagi tuhan, serta berdoa dengan penuh tawakkal dan yakin kepada Allah, tanpa mengeluh sedikitpun. Dr. Khalid bin Jabir menyedari tentang perkara ini, kemudian bertanya kepada si suami , apakah rahsia kesabaran dan redha luar biasa yang dimiliki oleh isteri beliau , maka jawab si suami.,

 أنا متزوج من هذه المرأة منذ 19 عاما وطول هذه المدة لم تترك قيام الليل إلا بعذر شرعي وما شهدت عليها غيبة ولا نميمة ولا كذب واذا خرجتُ من المنزل أو رجعتُ إليه تفتح لي الباب وتدعو لي وتستقبلني وترحب بي وتقوم بأعمالها بكل حب ورعاية وأخلاق وحنان ويكمل الرجل حديثه ويقول يا دكتور لا أستطيع بكل هذه الأخلاق و الحنان الذي تعاملني به زوجتي أن أفتح عيني فيها حياءً منها وخجلا ً

 " Saya berkahwin dengan wanita ini semenjak 19 tahun yang lalu, dan sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah meninggalkan Qiamullail melainkan dengan sebab uzur syarie, dan saya tidak pernah melihatnya mengumpat, berbohong dan juga mengadu domba. Apabila saya pulang ke rumah, dia membuka pintu dan menyambutku, dan melaksanakan kewajipannya dengan penuh cinta, akhlak dan kasih-sayang "

Kemudian si suami menyambung,

 “ Wahai doktor, sungguh, saya sangat malu pada isteri saya dengan semua kebaikan-kebaikannya itu “

 Benar. Sifat 'sabar dan redha dengan ujian' adalah buah dari Iman yang benar pada janji Allah serta Qada' dan Qadar-Nya. Dan buah iman bukan sahaja pada perkataan sahaja , namun ia adalah yang terzahir pada tindakan dan perbuatan kita yang lain. Itulah contoh ketenangan hidup seorang muslim yang benar pada aqidahnya, ibadahnya dan akhlaknya. Ketenangan ini tidak akan didapati melainkan dengan menyerahkan diri kita kepada islam sepenuhnya. Sama-sama memperbaiki diri kita.